Suara Pas cermin ketakutan : Puteri


IPOH – Puteri UMNO Perak tertarik dengan kenyataan pemimpin Pas termasuk Nizar Jamaluddin yang mendakwa UMNO negeri itu lemah umpama bahtera hampir karam.
Ketuanya, Salbiah Mohamed berkata, dakwaan Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak itu dibuat berdasarkan prasangka dan pemikiran yang cetek.
Menurut beliau, UMNO kini semakin bersatu padu dan sudah menunjukkan bibit kebangkitan semula dalam perjuangan di Perak.
“Kita percaya bukan sahaja Pas yang gentar dengan kebangkitan semula UMNO, malah DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut terkena tempiasnya.
“Suara Pas masa kini mencerminkan ketakutan parti itu kepada UMNO,” katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian.
Salbiah berkata, undangan yang dibuat Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir kepada Pemuda Pas baru-baru ini, hanyalah bersifat sinis kerana mereka terlalu sibuk dengan urusan dan program UMNO sehingga mengabaikan parti sendiri.
“Selama ini kita tidak pernah mengambil tahu mengenai kegiatan Pas, sebaliknya UMNO terus mengadakan program untuk menarik perhatian rakyat,” katanya.
Beliau berkata, Puteri UMNO yakin rakyat sudah mula sedar kelemahan Pakatan Rakyat (PR) dan semakin ramai ahli dalam pakatan pembangkang mula meninggalkan parti itu.
“Sehubungan itu, Puteri UMNO Perak percaya PR kini bimbang dengan kemaraan UMNO yang semakin mendapat tempat di hati rakyat,” katanya. -Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment